Dalam keluarga mereka seramai 10 adik-beradik, hanya Haron, Ishak dan Abu Hasan merupakan anak lelaki manakala tujuh lagi adalah anak perempuan. Ishak merupakan anak kedua, Haron (ketiga) dan Abu Hasan (kelima). Tahun ini, dua daripada tiga tokoh ini telah dijemput menghadap Ilahi. Haron meninggal dunia pada 15 September lalu dan pada 14 November lalu, abangnya Ishak pula kembali ke rahmatullah. Kini, hanya tinggal Abu Hasan.
 Untuk itu, wartawan Mingguan MalaysiaAMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan ZULKURNAIN OTHMAN bersama jurufoto Zakaria Idris telah mewawancara Abu Hasan di rumah beliau di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk mengimbau kenangannya bersama dua abangnya.

MINGGUAN: Bagaimana perasaan Datuk apabila dua orang abang Datuk kembalike rahmatullah pada tahun ini?
ABU HASAN: Memang saya terasa dan terkesan sangat sebab saya adik dan mereka adalah abang. Sebelum ini, kalau ada apa-apa masalah, saya mengadu pergi jumpa di rumah Ustaz Haron atau Ustaz Ishak. Apabila kedua-duanya tidak ada, kepada siapa lagi saya hendak jumpa. Sebab mereka berdua tinggal di Kuala Lumpur. Tambahan lagi ustaz Haron kerana beliaulah tempat kita rujuk dan mengadu dan minta pandangan.
Saya rasa hampir seluruh keluarga saya, Ustaz Haronlah tempat kami mengadu dan minta pandangan. Nombor dua saya dan ketiga Ustaz Ishak. Ustaz Haron seorang yang dermawan, pemurah dan memang banyak membantu orang. Allah juga kurniakan beliau kelebihan mengubat. Bila tidak ada, satu kehilangan besar kepada keluarga.
Kemudian kita fikir tinggal dua orang lagi (adik-beradik lelaki). Semasa Ustaz Haron meninggal dunia, Ustaz Ishak memang sudah tidak larat. Tiba-tiba Ustaz Ishak pula pergi (meninggal dunia). Keluarga kami memang terasa kehilangan mereka berdua. Jadi, sekarang tinggal saya seorang. Maknanya dalam keluarga sekarang, sayalah waris terkuat. Sekarang saya rasa seolah-olah sayalah ayah dan segala-galanya dalam keluarga. Dahulu apabila keluarga berkumpul ramai-ramai, ketiga-tiga orang ini ada tetapi selepas ini cuma tinggal saya seorang sahaja.

Siapa antara Allahyarham Datuk Haron dan Allahyarham ustaz Ishak yang lebih rapat dengan Datuk?
ABU HASAN: Kedua-duanya sama rapat sahaja. Ayah saya meninggal dunia ketika saya belajar di Mesir. Apabila balik, saya terus bekerja. Jadi, tidaklah bergantung atau harap kepada sesiapa. Lagipun masing-masing sudah ada kerja dan pendapatan. Tetapi semasa saya belajar di Mesir, saya rapat dengan ustaz Haron. Arwah buat ijazah doktor falsafah (Ph.D) dan sudah tentu wang biasiswanya banyak. Saya buat ijazah sarjana muda dan wang biasiswa saya tidak banyak.
Saya dapat biasiswa daripada kerajaan negeri (Perlis) manakala Ustaz Haron dapat biasiswa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ustaz Haron banyak membantu saya semasa saya belajar di Mesir. Bila balik pun, walaupun adik-beradik masing-masing sudah bekerja, ustaz Haron yang paling banyak membantu kalau ada apa-apa masalah.
Ketiga-tiga adik-beradik lelaki dalam keluarga Datuk merupakan tokoh agama yang dihormati di Malaysia. Apakah sejak kecil memang bercita-cita menjadi guru agama?
ABU HASAN: Ayah saya hendak kalau boleh anaknya semua belajar di sekolah agama. Apabila saya habis darjah enam dan kebetulan saya merupakan antara pelajar terbaik. Sepatutnya saya masuk asrama penuh dan pada masa itu, asrama penuh hanya ada di Melaka. Jarak perjalanan antara Perlis dengan Melaka pada masa itu faham-faham sahajalah, macam Malaysia dengan London sekarang ini. Surat yang dihantar itu tidak sampai, sampailah tarikh tutup habis. Jadi tidak terima masuk.
Saya pun masuk Derma English School (sekarang Sekolah Menengah Kebangsaan Derma) di Kangar, Perlis. Apabila masuk sekolah Inggeris, ayah saya tidak boleh terima. Dia tidak fikir soal masa depan atau kerja. Yang dia hendak, saya jadi orang agama pasal pada anggapan dia kalau saya belajar di sekolah orang putih, saya tidak akan jadi orang agama. Dia paksa saya berhenti. Selepas dua tahun, saya berhenti atas kehendak ayah dan masuk sekolah agama rakyat di kampung saya.
Ayah saya kata, kalau tidak bekerja pun tidak apa, yang penting kamu jadi orang agama. Itu prinsip ayah saya. Selepas itu saya masuk Sekolah Arab Alawiah di Arau, Perlis dan kemudian dihantar ambil kursus tahfiz di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar.
Mungkin ada pesanan tertentu daripada Allahyarham Datuk Haron dan Allahyarham ustaz Ishak yang diingati Datuk?
ABU HASAN: Kami hendak bercakap secara terus itu tidaklah. Cuma, kami daripada keluarga 10 adik-beradik ada perhimpunan keluarga setiap tahun. Pada masa itulah, kalau ada sesiapa yang hendak bercakap atau membuat teguran kalau ada apa-apa yang tidak betul. Itulah peluang kami setahun sekali.
Bagaimana karakter Datuk, Allahyarham Datuk Haron dan Ustaz Ishak? Mungkin masing-masing ada karakter tersendiri.
ABU HASAN: Dari segi karakter memang ada nampak bezanya. Ustaz Haron seorang yang lembut kerana dia seorang ahli akademik. Macam saya, tegas sedikit. Dari segi teguran, mereka (ahli keluarga) lebih takut kepada saya daripada ustaz Haron sebab saya tegur secara terus. Dari segi nada suara saya pun, mereka tahu saya tegas dan telus. Ustaz Ishak pula banyak tegur soal-soal agama seperti solat dan ibadah. Jadi, masa perjumpaan itu, semua ada peluang untuk bercakap dan membuat teguran.